Indonesia Kaji Arah Tepat Kiblat
>> Sabtu, 17 Julai 2010
2010/07/17
Kajian dapati rakyat solat tidak hadap Kaabah
JAKARTA: Badan Komunikasi Maklumat dan Penerbitan Nahdlatul Ulama (PBNU) akan memaklumkan penentuan secara tepat arah kiblat Indonesia petang ini selepas arah kiblat republik itu selama ini disahkan salah kerana ia menghala ke Tanzania, Somalia Selatan dan Kenya, bukan ke arah kaabah di Makkah.
Kesilapan itu dikesan selepas Majlis Ulama Indonesia (MUI) membuat kajian ulangan penentuan kiblat negara itu, dan mengesahkan arah yang difatwakan selama ini adalah salah.
Ketua PBNU dan Pengurus Besar Nadhlatul Ulama, HM Sulthan Fatoni berkata ‘Rashdul Kiblat’ (penentuan arah Kiblat) akan ditetapkan jam 16.26 petang ini waktu tempatan, apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah.
“Pada waktu itulah bayang matahari ke atas semua benda yang berdiri tegak pada permukaan datar menghala tepat ke arah Kaabah.
“Waktu ini perlu dimanfaatkan umat Islam negara ini membetulkan arah kiblat masjid, surau dan tempat bersolat lain yang mungkin belum tepat. Kaedah ini disahkan betul dan dapat menunjukkan arah kiblat yang sebenar,” katanya yang dipetik laman web berita inilah.com.
Sulthan berkata pandangan ini merujuk kepada ketetapan yang dibuat Lajnah Falakiyah PBNU dalam bidang astronomi.
Beliau berkata Kaabah berada pada kedudukan barat laut dan condong 20 hingga 25 darjah arah utara dari Indonesia. – Agensi
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Indonesiakajiarahtepatkiblat/Article
0 ulasan:
Catat Ulasan