PENDIDIKAN IMAN ANAK-ANAK

>> Jumaat, 25 Jun 2010


PENYERAPAN KALIMAH LAA ILAAHA ILLA ALLAH KE DALAM JIWA ANAK-ANAK


“Daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Jadikanlah kalimah laailaahaillallah sebagai kalimah pertama dalam kehidupan anakmu.”

Riwayat Al-Hakim

Kalimah Tauhid merupakan syiar pertama dalam Islam. Kalimah yang mengesakan Allah S.W.T perlulah menjadi kalimah pertama yang didengari, kalimah pertama yang dilafaz dan kalimah pertama yang perlu difahami.


MEMBERITAHU PERKARA YANG HALAL DAN HARAM


Ini perlu dilakukan apabila dia mula meningkat dewasa secara berperingkat bermula dengan pemerhatian dan seterusnya mempelajarinya.Ingatkan pada diri anak-anak supaya menjauhi perkara yang dilarang dan dekatkan diri pada yang dibenarkan.


MENGARAHKAN ANAK MELAKUKAN IBADAH WAJIB PADA USIA 7 TAHUN



“Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin’ As katanya: Rasulullah s.a.w bersabda : Arahkanlah anakmu menunaikan solat pada usia 7 tahun dan rotanlah sekiranya mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka(lelaki dan perempuan).
Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim


Ibadah lain seperti puasa juga boleh dididik pada usia yang sama. Hikmah daripada perintah ini supaya mereka dapat membiasakan diri melakukan ibadah dan menjadi sebati apabila dewasa. Ini juga dapat membentuk keperibadian mulia kanak-kanak apabila ia dewasa.


MENDIDIK ANAK MENCINTAI RASULULLAH S.A.W DAN KELUARGA BAGINDA




“Daripada Ali bin Abi Talib k.w katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : Biasakanlah anakmu mengingati tiga perkara : Mencintai Rasulullah s.a.w, menyayangi kelurga baginda dan membaca Al-Quran. Al-Quran akan menaungimu di bawah naungan ‘arasy Allah pada hari tiada naungan kecuali naunganNYa bersama pesuruhNya dan orang-orang yang dikasihiNya.
Riwayat At-Tabrani


Berdasarkan ini juga anak-anak perlu dididik dan diceritakan kisah-kisah peperangan zaman Rasulullah s.a.w, sejarah para sahabat, panglima-panglima Islam,kisah ulama dan kehebatan umat Islam dalam peperangan. Ini supaya anak-anak boleh menjadikan mereka sebagai ‘role model’ dan menjadi rapat dengan sejara-sejarah Islam yang sangat mulia.

MENDIDIK ANAK MENCINTAI AL-QURAN




“Saad Ibnu Abi Waqqas r.a berkata : Kami mengajar anak-anak kami perang-perang yang disertai Rasulullah dan mengajarkan mereka surah di dalam Al-Quran”


Imam Al-Ghazali berkat di dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin : Ajarlah anakmu tentang Al-Quran, berbudi bahasa pada orang lain, kisah-kisah manusia yang berhati mulia dan hukum-hakam agama.
Ibnu Khaldun pula menyebut : Perkara yang paling utama adalah mengajar anakmu membaca Al-Quran kemudian menghafaznya dan fahamkanlah ia mempelajari Al-Quran adalah perkara paling asas dalam pendidikan di seluruh kawasan yang dikuasai pemerintahan Islam.

KEPENTINGAN MENYUBUR IMAN KE DALAM JIWA ANAK-ANAK


“Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda: Anak itu adalah fitrah. Ibubapa lah menjadikan ia yahudi, nasrani atau majusi.”
Riwayat Bukhari

Imam Ghazali berkata : Anak berpandukan pegangan ibu dan ayah mereka. Hati mereka yang suci ibarat permata yang sangat berharga. Sekiranya sifat mereka dididik dengan perkara yang baik mereka akan jadi baik dan bahagia di dunia dan di akhirat Sekiranya kejahatan yang membentuk sifat mereka, dan diabaikan sebagaimana haiwan yang terabai, dia akan hidup dengan penuh kesengsaraan. Hanya mendidik dan mengajar mereka perkara kebaikan sahaja yang boleh melindungi mereka.


BATASAN-BATASAN MENYEMAI IMAN



Memandu mereka beriman kepada Allah dengan memerhatikan keindahan ciptaan Allah yang menakjubkan pada usia mumayyiz. Ini sudah memadai sebelum ibubapa dan pendidik membawa perkara yang lebih konkrit dan abstrak.


Apabila mereka telah sampai kepada usia yang boleh merasai keinsafan, jiwa mereka perlu dipupuk untuk hanya beribadah dan menghambakan diri kepada Allah S.W.T. Semai hati mereka untuk menghayati dengan penuh keinsafan setiap kejadian Allah S.W.T. Sifat taqwa mereka boleh dibentuk dengan melatih mereka khusyuk dalam solat dan mendengar dengan khusyuk apabila mendengar orang membaca Al-Quran.


Membentuk hati mereka untuk sentiasa mengingati Allah S.W.T dalam setiap perkara dan tindakan. Ini boleh dilakukan dengan memberitahu anak , Allah S.W.T melihat mereka dan mengetahui setiap rahsia yang mereka sembunyikan.Allah S.W.T juga mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan di dalam dada mereka. Anak juga perlu dilatih supaya sentiasa ikhlas dengan setiap amalan mereka dan tidak mengharapkan apa-apa balasan melainkan redha Allah S.W.T

SUMBER - TARBIYATUL AWLAD

0 ulasan:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP