Saintis Iran diculik perisik AS larikan diri

>> Rabu, 14 Julai 2010





2010/07/14
TV Iran menyiarkan dua gambar Shahram Amiri yang didakwa diculik perisik Amerika.
TV Iran menyiarkan dua gambar Shahram Amiri yang didakwa diculik perisik Amerika.
Amiri sembunyi di kedutaan Pakistan di Washington

TEHERAN: Seorang saintis nuklear Iran yang mendakwa diculik ejen perisikan Amerika Syarikat (AS) berlindung di kedutaan Pakistan di Washington yang menjaga kepentingan republik itu, lapor media tempatan semalam.

“Shahram Amiri, pakar Iran yang diculik, berlindung di bahagian kepentingan Iran di Washington beberapa jam lalu,” kata laman web televisyen tempatan.


Dalam satu laporan berasingan, agensi berita Mehr berkata Amiri yang ‘diculik AS pergi ke bahagian kepentingan Iran dan meminta untuk segera dihantar pulang ke Teheran.’

Kepentingan Iran di AS diuruskan kedutaan Pakistan kerana Teheran dan Washington tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak lebih tiga dekad lalu.

Pihak berkuasa Iran sekian lama percaya Shahram diculik ejen AS dari Arab Saudi tahun lalu di mana beliau mengerjakan umrah.

Iran minggu lalu berkata ia sudah menghantar ‘bukti’ kepada kedutaan Switzerland bahawa Shahram diculik ejen perisik Amerika. Kedutaan Switzerland menguruskan kepentingan Washington di Iran.

“Kami menjangka berdasarkan pematuhan pentadbiran Amerika, pihak berkuasa negara itu akan mengumumkan keputusan siasatan berhubung warga Iran terbabit,” kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanaparast.

Pada 29 Jun lalu, televisyen Iran menyiarkan satu video seorang lelaki mendakwa sebagai Shahram dan menyatakan dia berjaya melarikan diri dari tangan ejen perisik Amerika di Virginia.

“Saya mungkin ditahan semula pada bila-bila masa oleh ejen Amerika. Saya tidak bebas dan saya tidak dibenarkan menghubungi keluarga saya. Jika sesuatu berlaku dan saya tidak kembali hidup-hidup, kerajaan Amerika bertanggungjawab,” katanya.

“Saya meminta pihak berkuasa Iran dan organisasi yang mempertahankan hak asasi manusia supaya memberi tekanan kepada kerajaan Amerika untuk pembebasan saya,” kata lelaki terbabit bahawa dia tidak ‘belot’ negaranya sendiri.

Di MADRID, Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki berkata Shahram sepatutnya dibenarkan meninggalkan Amerika Syarikat dan pulang ke negaranya tanpa masalah.

Bercakap pada sidang media di sini, Mottaki mengesahkan Shahram meminta kedutaan asing yang mewakili Iran di AS agar menghantarnya pulang segera.

Menteri luar berkenaan yang berada di Sepanyol untuk lawatan, berkata Shahram hendaklah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarganya tanpa sebarang halangan. – AFP/AP

http://www.bharian.com.my/bharian

0 ulasan:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP